Wednesday, May 3, 2023

Mengekalkan kesepakatan kaum

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama, iaitu membentuk perpaduan kukuh dalam  kalangan rakyat dan menjadi identiti rakyat Malaysia.Antara matlamat Rukun Negara ialah mewujudkan masyarakat Malaysia ke arah mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat. Bagi mencapai matlamat ini, digariskan lima prinsip Rukun Negara yang perlu difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.Satu daripadanya adalah Keluhuran Perlembagaan.

Keluhuran Perlembagaan bermaksud setiap rakyat perlu dan wajar menerima Perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi dan setiap individu perlu mematuhi keluhurannya.Perlembagaan adalah sumber rujukan tertinggi bagi segala hal berkaitan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.Peranannya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat mengenai hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai dan memahami maksud serta kandungan dan latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini yang dikenali sebagai kontrak sosial. Menerusi kontrak sosial ini, orang bukan Melayu diberikan hak kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip jus soli.

Orang Melayu pula diperuntukkan dalam Perlembagaan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu atau apa yang dipanggil sebagai tiang seri dalam Perlembagaan.Penggunaan istilah tiang seri Perlembagaan lebih tepat dan wajar kerana isu agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sering menjadi konflik dalam masyarakat.Ia menggambarkan pentingnya perkara ini dihayati supaya tidak timbul sebarang pertikaian dalam pelbagai etnik di Malaysia dan berbezanya perkara ini dengan Perlembagaan yang ada di negara lain.

Dari perspektif hubungan etnik di Malaysia, perkara yang dianggap menguntungkan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan diimbangi dengan peruntukan lain yang juga memberi kelebihan kepada etnik bukan Melayu.Perkara yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan diimbangi dengan peruntukan kebebasan bagi setiap rakyat menganut dan mengamalkan apa-apa agama dalam suasana aman dan harmoni.

Begitu juga perkara yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, juga diimbangi dengan peruntukan bahawa tidak ada seorang pun yang boleh dilarang daripada menggunakan atau mengajar atau mempelajari apa-apa bahasa lain.Hal sama juga berlaku ke atas perkara yang menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak diimbangi dengan peruntukan bahawa kerajaan tidak boleh melucut, menarik balik atau menyebabkan hak kaum lain terhakis.

Maka, perkara ini perlu difahami setiap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda supaya sentiasa berlapang dada dalam sesuatu isu membabitkan bahasa Melayu, Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan.






No comments:

Post a Comment

Kata Alu-Aluan

Sudilah tuan jalan berlapan, Jalan berlapan di malam kelam, Sudilah tuan beri ucapan, Kata aluan pemanis Kalam S elamat Datang ke blog kami....